Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya memandang serius dan menyelar tindakan tidak bertanggungjawab terhadap budaya menyebarkan fitnah bertujuan memberikan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam dan kerajaan.
"Budaya membuat sesuatu pernyataan secara umum di media sosial semata-mata untuk mendapat perhatian tidak wajar dijadikan amalan yang perlu ditoleransi apatah lagi jika perkara itu tidak dapat dipastikan kebenarannya terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan juga mengingatkan semua pihak agar tidak mengaitkan setiap perkara dalam perkhidmatan awam dengan sentimen politik masing-masing kerana kesan fitnah itu tidak terhenti dengan permintaan maaf sahaja malah akan menimbulkan persepsi awam yang sukar dipadamkan secara serta-merta.
"Justeru, Cuepacs sekali lagi menyeru semua pihak agar memberikan penghormatan tertingggi kepada institusi perkhidmatan awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.
"Kami tidak meminta didendang tetapi cukuplah dengan penghormatan yang sewajarnya dengan memberikan sokongan secara berterusan untuk kita bersama-sama bergerak ke hadapan," katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertindak tegas terhadap individu atau organisasi yang sengaja memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap perkhidmatan awam di media sosial bagi membentuk masyarakat lebih berdisiplin dalam apa jua tindakan.
Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi kenyataan di Facebook menegur lidah rasmi PAS, Harakahdaily kerana menjadikan hantaran gambar yang tidak tepat berhubung isu ketiadaan kakitangan di kaunter kerajaan pada waktu bekerja, sebagai laporan berita mereka.
-- BERNAMA