"Itu kita akan bincang di (mesyuarat) Kabinet esok," katanya ringkas apabila diminta mengulas mengenai cadangan itu selepas menghadiri majlis pelancaran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.
Kerajaan dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar sebelum ini berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Garis panduan itu, katanya adalah sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Namun, media melaporkan beberapa pihak mengkritik cadangan itu antaranya berhubung keperluan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara terbabit tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)