KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) tidak memandang status atau mengambil kira jawatan dipegang oleh pelaku susulan kes gangguan seksual yang didakwa berlaku di universiti itu.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman, pihaknya cakna mengenai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang pensyarah di kampus itu dan bersedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

"UM juga berhasrat menjalankan siasatan dalaman dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bukti yang kukuh untuk dimulakan. UM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terutamanya mangsa agar tampil ke hadapan bagi membantu menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Noor Azuan menegaskan, UM tidak akan berkompromi dalam menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar, staf serta seluruh komuniti kampus.

Jelasnya, pihak pengurusan mematuhi setiap lunas undang-undang dan peraturan apabila melaksanakan tindakan ke atas setiap aduan bagi memastikan ia terlaksana dengan adil serta saksama.

“UM juga memandang serius isu berkenaan sekali gus komitmennya termaktub pada Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual.

"Ia boleh dimuat turun melalui Kod QR sebagai satu usaha sebar luas pemakaian kod tersebut. Kod itu juga telah disemat dan ditambah baik yang mana telah melibatkan pelbagai pihak seperti wakil pelajar, kesatuan, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, wakil polis serta peguam bagi dapatkan input menyeluruh,” katanya.

Bagi membantu mangsa tampil melaporkan kejadian gangguan seksual, UM juga menyediakan platform yang sama di laman web https://umintegrity.um.edu.my.

Ini merupakan langkah universiti bagi mendengar pandangan pelajar daripada Kelab Feminisme UM yang telah mengemuka tinjauan dan mendakwa bahawa satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual.

Beliau berkata, semakan dijalankan bersama pakar bidang pengajian gender daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial mendapati terdapat beberapa kelemahan wujud dalam aspek metodologi serta pensampelan memerlukan penelitian lanjut.

"Dakwaan ini merupakan perkara serius dan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia tidak berasaskan kajian menyeluruh serta data yang sahih. Saya memandang serius tuduhan daripada alumni Pengajian Gender terhadap dakwaan itu.

“UM perlu mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tersebut didapati tidak berasaskan data dan fakta yang tepat,” katanya.