Gangguan bekalan elektrik di Plaza Tol Changkat Jering, Taiping sejak pukul 9 malam menyebabkan kesesakan trafik di laluan keluar dan masuk tol berkenaan.

Jurucakap Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ketika dihubungi berkata masalah tersebut menyebabkan transaksi pembayaran tol secara elektronik terjejas.

"Buat masa ini pembayaran hanya dapat dilakukan secara manual di semua enam lorong iaitu masing-masing tiga ke arah utara dan tiga ke arah selatan," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau berkata ketika ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha untuk mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata sekiranya kesesakan trafik bertambah teruk, kenderaan mungkin dilencongkan ke susur Kuala Kangsar yang terletak pada jarak kira-kira 30 kilometer.

Kesesakan bertambah teruk memandangkan kenderaan yang bertambah berikutan orang ramai mula pulang ke kampung dan bercuti sempena cuti sekolah, katanya.

-- BERNAMA