KUALA LUMPUR: Cuaca tengah hari itu panas serta lembap. Kelihatan beberapa orang pengunjung Zoo Negara berjalan santai, sebelum berhenti sejenak untuk melihat sekumpulan capybara mengunyah pucuk dan daun di atas papan kayu, terletak sekitar dua meter dari tanah.

Capybara adalah spesies tikus terbesar dunia, sehingga mamalia ini digelar tikus gergasi.

Kepungan capybara di zoo ini luas, agak rendah sedikit daripada laluan, dengan bahagian belakang ditanam pokok sementara bahagian hadapannya adalah dinding batu.

Di bahagian tengah terletak papan kayu, tempat haiwan itu menikmati hidangan, sementara di bahagian bawah disediakan tempat perlindungan untuk capybara berteduh daripada panas dan hujan.

Pihak zoo juga membuat sebuah kolam besar dan cetek untuk capybara berendam bagi menyejukkkan badan.

Sejurus terdengar suara seorang wanita yang merenung tajam ke dalam kepungan capybara sambil berteriak, "Oh, tengok tu, ada seekor kucinglah," wanita itu menjerit ke arah keluarganya, yang mula merapati wanita itu sambil mengeluarkan telefon bimbit masing-masing.

Sasaran lensa kamera telefon sudah tentu si bulus.

Kucing yang disebut wanita itu berwarna oren, duduk di atas belebas, tanpa menghiraukan sesiapa, leka makan tuna hidangan tengaharinya yang diletak di dalam sebuah mangkuk berwarna biru.

Penulis dimaklumkan kucing dan tikus gergasi itu sudah menjadi seakan rakan sekamar sejak dua atau tiga tahun lepas. Keakraban haiwan ini semakin menjadi tarikan kepada pengunjung Zoo Negara, yang menanggung kerugian besar apabila terpaksa menutup sementara operasi akibat sekatan pandemik COVID-19.

Pekerja zoo bagaimanapun tidak pasti bila kucing yang dipanggil Oyen oleh pekerja dan pengunjung, berpindah dan tinggal dengan kumpulan capybara itu.

Oyen dilihat di dalam kandang capybara di Zoo Negara. - Astro AWANI

Apa yang mereka tahu ketika zoo ditutup semasa pandemik COVID-19, Oyen akan memunculkan diri semasa waktu haiwan diberi makan.

Nampaknya capybara yang herbivor/maun tidak kisah langsung dengan kehadiran si bulus yang makan daging itu.

"Pertama kali kami temui Oyen, kami tengok bukan main baik kucing tu dengan capybara. Oyen akan datang makan sekali, " kata Mohd Taufik Yazidbustami, penjaga kanan zoo di Zoo Negara kepada Bernama.

"Masa itu kami ada taruh roti jugalah, roti tu pun kucing makan," tambahnya.

Pihak zoo lazimnya tidak menggalakkan haiwan berinteraksi dengan haiwan liar kerana boleh membahayakan mereka.

Kebajikan haiwan perlu mempunyai lima kebebasan iaitu kebebasan daripada kebuluran dan kehausan; daripada ketidakselesaan; daripada kesakitan, daripada kecederaan dan penyakit; kebebasan menzahirkan tingkah laku normal dan daripada ketakutan serta tekanan.

Setakat ini, kucing dan capybara kelihatan sihat serta gembira dan tidak menunjukkan sebarang tekanan, demikian menurut Naib Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

Beliau menambah, pihaknya sentiasa memantau kedua-dua spesies itu bagi memastikan kesihatan kedua-duanya terpelihara.

Pekerja zoo membuat keputusan untuk membenarkan persahabatan si kucing dan capybara. Oyen juga sudah mula diberikan makanan sendiri dan bukan sahaja roti.


JADI KAWAN BAIK

COVID-19 menjalin persahabatan antara Oyen dan capybara dan membawa tuah kepada Zoo Negara. Menurut pekerja zoo, si kucing itu mungkin antara haiwan peliharaan yang dibuang di kawasan berhampiran.

Zoo Negara dikatakan menjadi tempat popular buangan kucing, malahan sebelum pandemik lagi.

Apabila COVID-19 melanda, ramai yang kehilangan pekerjaan dan membuatkan mereka tidak lagi mampu membela haiwan kesayangan mereka.

Zoo Negara, dengan kos operasi sekitar RM1 juta sebulan, juga menerima tamparan hebat dengan dibebani kriris kewangan dalam tempoh beberapa bulan selepas Malaysia dilanda pandemik berkenaan.

Bilangan pengunjung ke zoo itu juga menurun kepada sifar apabipa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, mengakibatkan sumber kewangan Zoo Negara meruncing.

Menurut Rosly, Oyen bernasib baik kerana bukan sahaja mendapat sumber makanan tetapi juga tempat perlindungan dan persahabatan dengan capybara.

"Oyen kelihatan gembira. Tiba-tiba pengunjung terlihat Oyen makan dengan capybara, ini yang istimewanya. Sekelip mata Oyen menjadi begitu popular," katanya.

Pihak zoo melihat persahabatan dua haiwan yang berlainan spesies ini boleh menjadi tarikan dan menggunakan media sosial untuk mempromosi perkara ini.

Video Oyen dan capybara muncul, antaranya dalam akaun Tik Tok Rosly dan akaun rasmi Tik Tok Zoo Negara, di samping Facebook, Instagram dan YouTube pelawat.

Video memaparkan Oyen dan capybara meletup viral di Tik Tok dan Twitter beberapa kali, selepas zoo dibuka semula pada bulan September 2021. Antara video yang viral ialah yang menunjukkan Oyen tidur atau memeluk capybara.

Sebahagian punca terjadi persahabatan dua haiwan ini adalah kerana sifat semula jadi capybara. Capybara yang berasal dari utara dan tengah Amerika Selatan adalah haiwan sangat sosial, dan serasi dengan banyak haiwan, termasuk anjing dan itik.

Sementara Oyen, menurut kepercayaan umum, kucing berwarna oren memang mudah mesra tetapi bengap.

Menurut Rosly, kehadiran Oyen menjadikan tempat kepungan capybara salah satu tempat haiwan paling popular di zoo berkenaan.

Beliau memberitahu Bernama, pihak zoo sedang memikirkan untuk menambah nama Oyen kepada papan tanda capybara di hadapan kepungan itu.

"Majoriti pengunjung zoo ini sedar akan perkara ini. Ramai yang datang untuk mengambil gambar Oyen dan capybara tetapi tak semua berjaya mengambil gambar itu. Kalau mereka bernasib baik dan datang pada waktu makan tengahari, mereka dapatlah ambil gambar," katanya.

Makanan diberikan sebanyak dua kali sehari iaitu pada pukul 9:30 pagi dan 2:30 petang.

Beberapa orang pengunjung yang Bernama temui ketika berkunjung ke Zoo Negara nampaknya tidak tahu akan kewujudan Oyen.

Selepas diberitahu sudah tentu semuanya berasa teruja mengetahui si kucing tinggal dengan capybara.

"Memang kami tak tahu tentang si kucing itu. Kami datang nak tengok capybara dan kucing menjadi bonus. Mungin capybara ni mudah untuk berkawan, kalau tidak tentu kucing tu dah lari, betul tak?" kata Seth Deister, pelancong dari Seattle, Washington, Amerika Syarikat.



KEPENTINGAN ZOO

Menurut Rosly, keadaan di Zoo Negara kini semakin bertambah baik sejak tempoh muram PKP, apabila zoo berhadapan risiko untuk ditutup.

Ketika itu, pihak zoo hanya mempunyai dana kecemasan yang boleh bertahan selama tiga bulan sahaja untuk menjaga dan memberi makan haiwan yang ada di zoo.

Bilangan pengunjung merudum pada tahun 2020 dan 2021 akibat beberapa kali perintah berkurung, kepada sekitar 182,000 setahun.

Pada tahun 2022, apabila sekatan pandemik dilonggarkan, bilangan pengunjung meningkat kepada lebih 430,000 orang dan mengatasi jumlah kira-kira 350,000 pengunjung, sebelum pandemik.

Derma daripada orang awam dan syarikat korporat menampung sebarang kekurangan pada tempoh berkenaan.

Kerajaan Malaysia menyumbang hampir RM10 juta kepada Zoo Negara antara tahun 2018 dan 2022.

Rosly memberitahu Bernama, keadaan kewangan Zoo kini seimbang antara kos dan keuntungan dan mereka perlu meningkatkan jumlah keuntungan bagi bersiap siaga untuk sebarang kecemasan.

"Kami mahu lebih ramai orang datang ke zoo sebab kami perlu membayar untuk barang pameran serta kos selenggaraan zoo dan haiwan," tambahnya.

Dalam masa yang sama, zoo bukanlah tanpa kontroversi. Aktivis hak asasi haiwan berpandangan haiwan berhak kepada kebebasan dan tinggal secara liar.

Mereka mendakwa pihak zoo mengeksploit dan mendera haiwan dengan berlindung di sebalik program pendidikan.

Aktivis hak asasi haiwan juga berhujah bahawa zoo tidak lagi ada kegunaan kerana dokumentari dan program TV boleh mendidik kanak-kanak untuk menghargai alam semula jadi dan hidupan liar, dengan lebih baik.

Bekas Presiden Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Beliau menekankan zoo adalah penting bukan sahaja untuk mendidik dan memperkenalkan haiwan kepada orang ramai, terutama haiwan yang terancam tetapi juga untuk melaksanakan projek pemuliharaan.

"Kita perlu memulihara tapir, sebagai contoh. Kita juga perlu memulihara harimau. (Orang ramai) tidak tahu tentang harimau, tapir dan juga kura-kura. Tahap kepekaan dan kebimbangan tentang hidupan liar di negara ini masih rendah, itulah sebabnya mengapa kita masih menghadapi konflik antara manusia dan gajah dan harimau," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada kucing tinggal dengan capybara satu idea yang bagus, kerana interaksi kedua spesies itu mungkin boleh menukar tingkah laku normal capybara.

"Dalam kepungan, mungkin comel melihat kucing dan capybara tetapi untuk sesetengah pencinta alam semula jadi, mereka tak suka dengan keadaan itu. Mereka mahu lihat haiwan berkelakuan seperti mana mereka dalam alam semula jadi mereka," katanya.

Beliau menambah, menggunakan persahabatan si kucing dan capybara mungkin ada manfaatnya dalam jangka panjang, sekiranya ia boleh menarik lebih ramai pengunjung untuk keperluan kewangan Zoo Negara.


-- BERNAMA