KUALA LUMPUR: FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) hari ini mengumumkan pengukuhan komitmen untuk berganding bahu dengan organisasi tempatan bagi memperkasa masa depan kewangan golongan muda di Malaysia.

Kerjasama dalam program celik kewangan ini dijangka membawa manfaat kepada lebih 15,000 pelajar dalam dua tahun.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan antara tetamu terhormat yang turut hadir di acara FWD bertemakan "Tumpuan untuk masa depan" berkata, kerjasama awam-swasta adalah penting dalam memperluaskan jangkauan dan impak inisiatif literasi kewangan.

Katanya, sebagai ahli Rangkaian Pendidikan Kewangan dan Outreach Kolektif Industri Kewangan (FINCO), FWD boleh memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran literasi kewangan terutamanya di kalangan pelajar sekolah dan belia.

"Tahap celik kewangan lebih tinggi boleh menghasilkan kesan ekonomi yang mendalam. Hakikatnya, usaha melengkapkan generasi muda dengan ilmu kewangan membina asas yang kukuh demi Malaysia yang lebih makmur

"Kesan jangka panjang meningkatkan tahap celik kewangan dapat dilihat daripada tenaga kerja yang berdaya tahan, penduduk yang lebih terlindung dari segi kewangan dan akhirnya sumbangan lebih kukuh kepada KNDK negara kita," kata beliau.

Tambah Amir, dalam dunia hari ini, di mana ketidakpastian ekonomi boleh timbul dengan cepat, literasi kewangan adalah kunci untuk membina daya tahan dan memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai cara untuk menghadapi cabaran.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, 54 peratus daripada populasi kita mempunyai simpanan kurang daripada tiga bulan jika mereka kehilangan pendapatan.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif, FWD Insurance Berhad, Aman Chowla berkata, celik kewangan tidak hanya bermaksud memahami tentang wang tetapi ia juga bermakna keupayaan membuat keputusan kewangan  secara maklum, menguruskan risiko dengan berkesan, dan mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa perancangan kewangan menjadi lebih daripada sekadar konsep abstrak, ia mesti praktikal, mudah diakses, dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," tambah Aman

Selain berkongsi ilmu kewangan, FWD Insurance juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah Keramat untuk menjayakan program “Bawa Peranti Anda ke Sekolah”.

Program perintis ini berusaha memastikan murid-murid dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam suasana pembelajaran digital masa kini.

Di samping itu, FWD Insurance akan menaja papan putih digital dan peranti tablet untuk sekolah-sekolah rendah terpilih di bawah naungan Pejabat Pendidikan Daerah Keramat. 

FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) adalah sebahagian daripada FWD Group, sebuah perniagaan insurans hayat dan kesihatan serata Asia dengan lebih daripada 12 juta pelanggan meliputi 10 pasaran, termasuk antara pasaran insurans paling pantas berkembang di dunia.