Satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Twitter ‘Jebat Must Die’ (JMD) kerana didakwa memuat naik satu kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Prihatin Kempas (PPK) Salim Daud di Balai Polis Kempas, di sini, kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Salim ketika dihubungi Astro AWANI berkata JMD mengeluarkan satu kenyataan menuduh perdana menteri sudah mengaku menerima wang ke dalam akaunnya.

“Apabila saya bandingkan kenyataan JMD dengan penjelasan PM yang dibuat menerusi akaun Twitternya yang menyatakan PM menafikan serta turut mengarahkan peguam beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal.

“Kenyataan JMD adalah bercanggah dengan penafian yang dibuat oleh PM, di mana JMD mengeluarkan kenyataan itu selepas PM memberi penjelasan secara jelas,” katanya.

Jelas Salim, sebagai rakyat yang prihatin dia terpanggil untuk membuat laporan polis supaya siasatan segera dapat dijalankan oleh PDRM berhubung kenyataan itu.

“Saya membuat laporan polis ini sebagai rakyat prihatin, di mana saya lihat fitnah keterlaluan di laman sosial tanpa sebarang tindakan walhal Perdana Menteri sudahpun dengan jelas menafikannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan berkenaan.