ISKANDAR PUTERI: Festival Majestic Johor yang dijadual berlangsung di Puteri Harbour di sini pada 28 Ogos hingga 1 Sept ini menyasarkan kehadiran lebih 600,000 pengunjung termasuk dari negara jiran.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya telah mengadakan promosi di luar Johor seperti di Riau, Indonesia dan Singapura.

"Tarikan utama festival yang memasuki edisi ketiga itu ialah pameran eksklusif kereta klasik diraja dan Perarakan Festival Majestic Johor yang akan menyaksikan perarakan kebudayaan, persembahan kesenian etnik budaya Johor serta pancaragam pada 1 Sept.

"Terdapat juga pertunjukan bunga api dan konsert sempena Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos," katanya kepada pemberita pada sidang media penganjuran festival itu di sini pada Rabu.

Beliau berkata, bagi menambah kemeriahan dan keseronokan festival berkenaan, perarakan Festival Majestic Johor bakal menampilkan perarakan penuh warna-warni daripada 26 kumpulan kebudayaan dan kesenian serta pancaragam dari pelbagai sekolah.

Sharil Nizam berkata, bagi melancarkan perjalanan lalu lintas sepanjang festival berlangsung, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas percuma terus ke tapak festival dari tapak parkir yang disediakan seperti di sekitar bangunan kerajaan di Kota Iskandar.

Festival yang pertama kali diadakan pada 2022 merupakan satu daripada inisiatif kerajaan Johor dalam menyemarakkan sektor pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi tempatan melalui impak aktiviti rantaian daripada sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Festival berkenaan telah menerima penghormatan daripada industri pelancongan Malaysia apabila menerima anugerah 'Gold Award Attractive State Tourism Event' pada 2022. - BERNAMA