GEORGE TOWN: Sebuah feri ikonik yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang dilaporkan berada dalam keadaan senget dan hampir tenggelam.


Ringkasan AI
  • Sebuah feri yang sedang diubahsuai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang dilaporkan senget dan hampir tenggelam akibat kebocoran.
  • Syarikat yang mengendalikan projek muzium feri sedang mengambil langkah mitigasi untuk menangani kejadian tersebut, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin.
  • Feri ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, dengan pelancaran muzium dijadualkan pada penghujung tahun ini.


Kejadian itu disedari berlaku pada tengah hari Rabu.

Feri bernama Feri Pulau Pinang itu baru ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada tengah hari Khamis lalu.

Difahamkan, feri tersebut mengalami kebocoran di bahagian bawah menyebabkan ia dimasuki air lalu senget dan hampir tenggelam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berkata, syarikat yang mengendalikan projek muzium feri sedang mengambil langkah mitigasi terhadap kejadian tersebut.

"Saya telah dimaklumkan perkara ini dan difahamkan bahawa syarikat yang menjalankan Projek Muzium Feri iaitu Printhero Merchandise (M) Sdn Bhd sedang mengambil langkah-langkah mitigasi yang sewajarnya.

"Pihak SPPP juga telah meminta satu laporan daripada pihak Printhenro untuk diteliti," katanya.

Sebelum ini, Soon Hin berkata, sebuah feri ikonik sedang ditransformasi untuk dijadikan sebuah muzium akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Mengimbas kembali mengenai feri-feri ikonik ini, pada tahun 2021, SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya produk pelancongan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan.

SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli atau menyewa feri-feri ikonik tersebut.

Bagaimanapun, kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang tidak sesuai menyebabkan SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik yang tidak digunakan dengan kadar segera.

Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar telah dihentikan yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina. -Sinar Harian