Felda merancang memperluaskan Program Perumahan Berperancangan Generasi Kedua ke seluruh negara dalam usaha mengatasi masalah perumahan dihadapi golongan itu pada masa ini.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata menerusi program itu, Felda bekerjasama dengan kerajaan negeri menyediakan tapak rumah untuk peserta yang terpilih sebelum mereka yang terlibat membuat membuat pinjaman dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk pembinaan rumah.

"Usaha untuk mengatasi masalah rumah generasi kedua memang sentiasa diberi perhatian oleh pihak Felda, kepimpinan negara serta negeri, yang mencari jalan untuk membantu golongan berkenaan.

"Program ini dilihat sebagai anntara pendekatan baharu Felda atasi masalah ini yang mana menerusinya generasi kedua mencari tapak sendiri dengan kerjasama kerajaan negeri sebelum Felda bersama agensi kerajaan lain membantu dari segi pembinaan infrastruktur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Tapak Perumahan Berperancangan Generasi Kedua di Felda Keratong 5, dekat sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Pahang Datuk Abu Bakar Harun dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

Untuk rekod program tersebut sebelum ini telahpun dilaksanakan di Felda Tenggara, Johor dan yang terbaharu di Felda Keratong 5, di sini.

Sementara itu beliau menyifatkan tindakan 125 generasi kedua Felda Keratong 5 yang berusaha mendapatkan tapak tanah yang terletak di bawah Akta Kawasan Tanah Berkelompok (GSA) untuk pembinaan kediaman yang lebih selesa bagi mereka merupakan satu tindakan yang berani dan tepat.

"Keberanian generasi muda berusaha mendapatkan keperluan mereka adalah sesuatu yang diharapkan oleh pihak Felda sendiri dan sudah pasti kita mahu selesaikan masalah keperluan mereka.

"Seperti yang dilakukan oleh generasi kedua di Felda Keratong 5 ini, ia amat disokong dan kita sendiri mahu ia diperluas dan kita mahu pastikan bukan hanya 125 orang sahaja yang dapat lot rumah ini tetapi baki 90 peratus lagi generasi kedua yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Felda menyediakan tapak rumah untuk tujuan pembinaan rumah bagi generasi kedua Felda.

Beliau berkata secara langsung melalui cara itu ia dapat memenuhi impian anak-anak peneroka untuk terus tinggal di tanah rancangan dengan kediaman yang lebih selesa bagi meneruskan legasi perjuangan ibu bapa mereka.

-- BERNAMA