GUA MUSANG: Nenggiri akan berubah wajah dalam tempoh setahun jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana kerusi DUN Nenggiri perlu kembali kepada BN dan isu pembangunan di kawasan itu akan terjaga jika gabungan politik berkenaan menang pada PRK tersebut.

"Oleh itu, saya meminta pengerusi agensi masing-masing memainkan peranan dalam memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Pelbagai usaha dilakukan oleh semua agensi terutama KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) dan FELDA yang banyak membangunkan kemajuan di Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN di pejabat UMNO Bahagian Gua Musang hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata penduduk perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak membantu pembangunan di Kelantan.