Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah, fatwa yang dikeluarkan mufti mesti diterima secara positif, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan tidak dianggap berunsur mengongkong serta menekan.

Titah baginda, institusi mufti perlu memberi ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu baharu.

Ia demi menjamin fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti sebelum mengeluarkan fatwa, titah baginda ketika merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia, di sini, hari ini.

"Mengambil ingatan bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, memiliki daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan."

Baginda berkata demikian ketika menggariskan satu daripada lapan komponen penting yang perlu diberi perhatian dalam proses mengeluarkan fatwa.

Menurut baginda, kemajuan teknologi komunikasi telah mengubah peranan, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden.

"Dalam era internet, telah muncul banyak laman sesawang mengandungi pelbagai fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam kalangan ummah untuk mendapatkan fatwa," tambah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, institusi mufti memerlukan perekayasaan kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa, demi menjamin ia kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa.

Titah baginda, dunia yang bertambah kompleks tentunya menghamparkan lebih banyak persoalan yang memerlukan jawapan pada hari ini.

Dalam proses mengeluarkan fatwa, baginda bertitah, mufti perlu memastikan fatwa yang dikeluarkan diterima secara positif dengan hati yang terbuka, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan mendekatkan mereka dengan Penciptanya, serta tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan.

Perlu diingat juga, titah baginda, semakin ramai umat Islam memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, daya intelek yang tinggi, serta bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal dan melakukan kajian dan rujukan perbandingan serta tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.

Baginda bertitah, walaupun terdapat fatwa yang dikeluarkan secara individu oleh para ilmuwan Islam, norma yang semakin diamalkan dan diterima ialah, proses mengeluarkan fatwa berlandaskan syura dan perbincangan yang dilakukan secara kolektif.

"Dunia kini semakin kompleks. Tidak ada seorang individu yang berupaya menguasai semua disiplin pengajian dan memiliki pelbagai pengetahuan, dan tidak ada individu yang boleh menganggap dirinya serba tahu.

"Oleh itu, proses konsultasi amat perlu diamalkan sebelum sesuatu fatwa yang sahih dapat dikeluarkan, kerana itu majoriti ulama berpendirian, ijtihad hendaklah dilakukan secara kolektif," titah Sultan Nazrin.

Komponen penting lain yang digariskan baginda adalah:

* Urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa, sebaliknya perlu melaksanakan mekanisme penghebahan dan penerangan melalui pelan komunikasi yang berkesan.

* Sensitif terhadap realiti persekitaran dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, etnik, budaya dan ideologi politik, agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan kontroversi.

* Tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali daripada sebarang kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak bersubahat dengan sebarang usaha yang membolehkan matlamat menghalalkan cara; dan

* Kebijaksanaan dan hikmah melakukan perimbangan ketika menimbangkan sesuatu arahan atau permintaan agar akauntabiliti utama terhadap Allah dan kepentingan ummah tidak dipinggirkan.

Baginda berharap para mufti dan ulama akan dilimpahi kebijaksanaan dan kearifan membantu Raja Pemerintah menyempurnakan peranan dan menyempurnakan amanah sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

"Semoga Multaqa Jawatankuasa Fatwa yang dianjurkan ini, dirahmati dengan cahaya petunjuk daripada Allah, mencapai kata muafakat dan menghasilkan penemuan yang dapat membantu usaha-usaha meningkatkan syiar Islam di bumi ini," titah baginda.