KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama TikTok Shop menganjurkan Kursus Upskilling Live Marketing bagi meningkatkan kemahiran usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pemasaran digital bermula Jumaat hingga Ahad lepas.

FAMA dalam kenyataan memaklumkan kursus yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara itu juga bertujuan memperkasa usahawan OKU melalui penggunaan teknologi selain meningkatkan kesedaran dan penerimaan sosial terhadap usahawan OKU.

Sebanyak 18 syarikat OKU dan lapan syarikat bukan OKU terlibat dalam kursus itu untuk menaikkan semangat dan minat usahawan dalam pemasaran agromakanan digital.

"Peserta OKU yang terlibat terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal seperti tangan, kaki serta penglihatan. Mereka ialah usahawan berdaftar FAMA yang mengeluarkan produk agromakanan.

"Tenaga pengajar untuk kursus ini terdiri daripada pasukan TikTok Shop sendiri yang memberikan pengalaman pembelajaran yang luar biasa kepada peserta," menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan FAMA Siti Nurul Haida Ibrahim dalam kenyataan sama berkata pendedahan teknologi terkini serta pemasaran digital yang tepat melalui kursus berkenaan diharap dapat memperkasa dan menjamin kejayaan usahawan OKU.

Beliau berkata pihaknya amat bangga apabila peserta kursus berjaya meraih nilai jualan terkumpul berjumlah RM7,520 dalam sesi langsung (Live) yang diadakan selama dua jam.

"FAMA komited untuk terus menyokong dan membantu golongan OKU dalam mengembangkan perniagaan mereka, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan sokongan terhadap usahawan OKU.

"Kami berharap inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan OKU untuk mengambil langkah berani dalam memanfaatkan platform digital," katanya.

Seorang peserta Amir Mohsin Mohd Bahrudin yang juga usahawan produk sambal sedia dimakan berkata kursus itu membuka matanya tentang potensi besar pemasaran digital melalui platform TikTok Shop.

"Saya telah belajar kaedah untuk mencipta kandungan yang menarik dan berkesan dan saya yakin ini akan membantu mencapai lebih ramai pelanggan sekali gus meningkatkan pendapatan," katanya.

-- BERNAMA