BATU GAJAH: Ladang tembikai wangi premium pertama di Malaysia di sini, akan mendapat sokongan serta tunjuk ajar dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perak dalam meningkatkan kualiti produk.

Bukan itu sahaja, usaha itu juga digembleng bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dari sudut sasaran pasaran lebih meluas.

Menurut Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob, pengurusan Hami Ecofarms sememangnya mengeluarkan tanaman organik yang berkualiti tinggi.

Justeru, katanya, antara bantuan yang boleh diberi ialah khidmat rundingan berhubung pengendalian lepas tuai.

"Mardi akan bantu pihak syarikat untuk tingkatkan kualiti produk, khususnya dari sudut pengendalian lepas tuai. Khidmat rundingan juga akan diberi supaya mereka dapat eksport tembikai wangi premium ini.

"Ini kerana, tahap ketahanan buah ini tidak lama, dalam tujuh hari setelah dipetik, ia perlu sampai kepada pelanggan," katanya.

Foto Astro AWANI



Aw menunjukkan kepada Zaiha Zeeti (tudung biru) jenis tembikai wangi premium yang ditanam secara organik di ladangnya. - Foto Astro AWANI

Beliau berkata demikian setelah mengadakan sesi lawatan pada program kolaborasi Fama dan Mardi berkaitan teknik dan kaedah pengendalian lepas tuai tembikai wangi di Hami Ecofarms.

Hadir sama, Pegawai Fama Daerah Kinta, Ahmad Zaki Ahmad serta Timbalan Pengarah Program Pengendalian Lepas Tuai Mardi, Wan Mohd Reza Ikwan Wan Hussin.

Kira-kira 15 orang yang hadir dari Mardi dan Fama diberikan penerangan serta dibawa melawat ke ladang oleh Pengarah Urusan Hami Ecofarms, Aw Chee Choy.

Dalam pada itu, Zaiha Zeeti berkata, antara cabaran yang dihadapi pihak syarikat adalah tanaman secara organik yang diamalkan di sini.

"Banyak cabaran untuk tanaman ini, antaranya pengudaraan yang baik untuk pastikan buah membesar dengan baik.

"Satu dahan hanya hasilkan satu saja buah bagi pastikan kualiti dan beratnya konsisten.

"Pertanian organik juga ambil masa lama berbanding guna bahan kimia, namun untuk jangka masa panjang sebenarnya pihak syarikat jimat bagi proses rawatan tanah," katanya lagi.



Wakil Mardi dan Fama diberikan penerangan oleh Aw serta dibawa melawat ladangnya. - Foto Astro AWANI


Foto Astro AWANI

Ahmad Zaki pula berkata, tidak ramai pengusaha tembikai wangi berjaya mengekalkan kualiti seperti Hami Ecofarms.

Malah, ladang tersebut berjaya menjadi satu-satunya pengeluar tembikai wangi premium di Malaysia secara organik.

"Ini merupakan ladang pertama di Malaysia yang mengusahakan benih tembikai wangi premium dari Jepun.

"Kami sedang bantu syarikat dari sudut pasaran eksport, proses itu sudah di peringkat akhir dan selepas itu mereka boleh luaskan pasaran ke negara luar.

"Kita tahu produk premium ini sasarannya di pasaran tertentu, kerana harganya pun agak mahal kerana kualitinya.

"Sebenarnya tembikai wangi atau rock melon ini sudah lama pasarannya tetapi tembikai wangi dengan kualiti premium ini yang baharu buat orang ramai," katanya. 

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI