Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyertaan berkenaan akan membantu MARDI dalam memperkukuh pengurusan harta intelek.
"Program TISC adalah pusat setempat yang dibangunkan World Intellectual Property Organization (WIPO) bagi pereka cipta daripada negara anggota termasuk Malaysia.
"Ia membolehkan dapatan akses kepada informasi teknologi dan penyelidikan terkini serta maklumat berkaitan perlindungan dan pengurusan hak harta intelek," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Agroinvest 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Rabu.
Armizan menambah, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) komited memperkukuh kerjasama dengan MARDI bagi memastikan matlamat berkenaan tercapai.
Ia menerusi penganjuran Program IP Care dengan Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan (TE) MARDI membabitkan penyertaan 60 usahawan tempatan.
"Melalui TE, MARDI turut mempromosi dan memindah teknologi yang dijana kepada usahawan industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekali gus membangunkan usahawan tekno dalam bidang industri asas tani, pertanian dan ternakan," katanya.
Armizan berharap langkah ini bukan hanya membantu MARDI memperkaya proses penyelidikan dan pengkomersialan inovasi mereka di peringkat global tetapi turut memastikan setiap penciptaan produk dilindungi.
“Kerjasama ini dapat membuka peluang menyediakan latihan khusus dalam carian pangkalan data teknologi dan harta intelek, yang penting dalam memastikan perlindungan produk serta inovasi mereka.
“Malah mereka juga akan dapat bantuan dalam membuat carian teknologi atas permintaan termasuk dalam aspek pelanggaran hak cipta dan inovasi baharu yang berkembang di peringkat antarabangsa,” ujarnya.