KUALA LUMPUR: Peguam, Fahmi Abd Moin mengesah telah dilantik bagi mewakili ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang direman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak terbabit.


Ringkasan AI
  • Peguam Fahmi Abd Moin telah dilantik untuk mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun, yang direman selama tujuh hari dalam siasatan kes bunuh kanak-kanak tersebut.
  • Polis telah mengambil keterangan dari bekas pengasuh Zayn Rayyan selain dari ibu bapa, yang ditahan dan direman bermula Sabtu lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Meskipun seorang peguam sebelumnya telah dilantik untuk mewakili pasangan ibu bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin kini akan mewakili mereka dalam perjalanan kes tersebut, dengan harapan proses undang-undang berjalan lancar demi keadilan.


"Ya betul, baru dilantik secara rasmi semalam," kata bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau juga akan hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat ini, sekiranya pihak polis membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh reman terhadap pasangan suami isteri itu.

Pada Sabtu lalu, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan pada Jumaat dan direman selama tujuh hari bermula Sabtu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain ibu bapa, polis baru-baru ini turut mengambil keterangan percakapan daripada bekas pengasuh kanak-kanak autisme tersebut.

Sebelum ini, peguam, Mahmud Abdul Jumaat dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tidak lagi mewakili pasangan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan tiada komen lanjut berhubung situasi tersebut.

Namun begitu beliau mendoakan, perjalanan kes tersebut berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

Menurutnya, sebagai pengamal undang-undang, beliau menasihati semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes berkenaan demi kebaikan bersama.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. - Sinar Harian