PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenderaan elektrik (EV) bakal digunakan sebagai kereta rasmi para pemimpin ASEAN ketika menghadiri acara-acara kenegaraan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan akan berusaha mendapatkan sebanyak mungkin EV.

"Agak menarik apabila Kabinet memutuskan sedemikian baru-baru ini, (selama ini) ke mana sahaja kita pergi, ketua-ketua negara akan diberikan sebuah kereta Mercedes yang besar.

"... kita berpandangan bahawa jika kita serius tentang kelestarian dan peralihan tenaga, kita perlu tonjolkan bahawa di Malaysia, kenderaan yang diberikan kepada ketua-ketua negara, para menteri dan pegawai berkenaan hanyalah EV," katanya.

Anwar berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 2: Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi yang Mampan dan Inklusif anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Petronas.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Presiden Petronas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Perdana Menteri berkata keputusan menggunakan EV sebagai kereta rasmi para pemimpin ASEAN walaupun saiznya mungkin lebih kecil adalah disebabkan kerana ia lebih murah berbanding kenderaan lain.

"Kita akan maklumkan kepada semua kepala negara... Sila gunakan ia dan saya harap anda akan berpuas hati," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia perlu mengambil peluang daripada Kepengerusian ASEAN memandangkan rantau itu berpotensi sebagai kuasa ekonomi sekali gus memperkukuh pengaruh ekonomi dan politik negara di ASEAN.

"Kita harus memanfaatkan peluang ini untuk menjadikan Malaysia sebagai hab ASEAN bagi pertumbuhan mampan," katanya.

Anwar juga berkata Malaysia kini boleh memilih bentuk pelaburan yang ingin diterima susulan keupayaan negara menarik pelaburan.

"Dulu kita sambut baik semua pusat data, sekarang tidak, pusat data kalau ditambah dengan pusat kecemerlangan, AI (kecerdasan buatan) dan pemindahan latihan, pendedahan, ya (kita terima pelaburan) kalau tidak, kita tak terima.

"Kita ada kelebihan di sini kerana kita dah sampai tahap di mana kita boleh menjadi lebih selektif tentang jenis pelaburan yang kita terima," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia turut mengambil pendekatan dasar luar yang semakin tegas tanpa mengabaikan diplomasi.

"Kita kekal bersikap sopan tetapi terus terang dalam hubungan kita," katanya merujuk kepada kerjasama dengan China.

Beliau berkata projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dijalankan "mengikut syarat kita" dengan penekanan kepada penggunaan sumber, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.

-- BERNAMA