Kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke KLIA2 dari RM35 ke RM55 yang diumumkan baru-baru ini tidak mendapat sambutan positif dalam kalangan netizen tempatan.

Warga Twitter khususnya melahirkan rasa marah dan kecewa terhadap keputusan kenaikan tambang tersebut yang dianggap mendadak dan membebankan rakyat yang sudah pun dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang lain.

Selain mendapatkan reaksi Twitter, Astro AWANI turut menjalankan satu undian.


Daripada 5306 responden, sebanyak 94 peratus tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut, Hanya 3 peratus bersetuju dan selebihnya memilih untuk neutral.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula keperluan berkenaan untuk menaikkan caj tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang benar-benar menekan kos sara hidup rakyat.



Ramai juga yang membandingkan tambang baharu ERL dengan tambang penerbangan yang lebih murah, menjadikan ERL sebagai pilihan yang kurang munasabah untuk ke dua lapangan terbang tersebut.



Namun bukan semua netizen memilih untuk meluahkan perasaan semata-mata.

Beberapa pengguna berkongsi beberapa cadangan untuk berhadapan dengan kenaikan tambang ERL.

Misalnya, ada cadangan agar kenaikan tambang ini hanya dikenakan kepada penumpang bukan warganegara Malaysia.

Ada juga yang mencadangkan agar pengguna yang tidak berhadapan dengan kesuntukan masa untuk menggunakan laluan KLIA Transit yang lebih murah.





Kadar tambang baharu ERL akan berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.