Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azly Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu menyebabkan pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24 tahun, dan Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24 tahun, maut di tempat kejadian.
"Dua anak saudara mereka, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, serta adiknya, Yasmin Aliah, 12, turut meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
"Namun pemandu bas ekspres berkenaan, Mohd Salleh Ghazali, 37, dan 30 penumpang tidak mengalami kecederaan, " katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Mohamad Syahmi Emir itu dipercayai dalam perjalanan balik dari Teluk Chempedak di Kuantan untuk menghantar anak saudara mereka ke Mersing, Johor sebelum balik ke Johor Bahru.
"Bagaimanapun sampai dii tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres berkenaan yang menuju ke arah Kuantan," katanya.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan terseret sejauh 30 meter sebelum terjatuh ke dalam parit sebelan kanan jalan.
"Akibat kejadian itu, keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian manakala 30 penumpang dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan. Kesemua mangsa sudah dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat," katanya.
Azly berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.