SHAH ALAM: Menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah rumah transit sebelum dibawa menggunakan bas ekspres ke Kuala Lumpur antara taktik dibongkar susulan operasi dijalankan sekitar Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Sindiket penyeludupan manusia yang didalangi lelaki Rohingya ditumpaskan di Kota Bharu, dengan enam individu ditahan.
  • PATI ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres.
  • Tindakan dijalankan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.


Sindiket penyeludupan manusia yang didalangi lelaki Rohingya itu ditumpaskan susulan penahanan enam individu dalam operasi berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula jam 7.57 pagi itu melibatkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.

Beliau berkata, hasil kejayaan tangkapan itu berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dijalankan selama tiga minggu.

"Pasukan serbuan yang diatur gerak bertembung dengan sebuah kenderaan Proton Wira yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan.

"Suspek kemudiannya memecut kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas dan ditahan di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya telah menahan dua orang lelaki etnik Rohingya bertindak sebagai ‘transporter’ dan pembantu.

"Kedua-dua mereka ditahan bersama dua lelaki yang juga warga Rohingya dipercayai akan dibawa ke Kuala Lumpur.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa serbuan di sebuah rumah di sekitar Kota Bharu, Kelantan sebelum menahan dua lagi lelaki Rohingya," katanya.

Menurutnya, keseluruhan tangkapan melibatkan enam individu berumur lingkungan 24 hingga 35 tahun.

"Semakan awal mendapati, empat lelaki berkenaan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala dua lagi individu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

"Turut dirampas dua keping dokumen UNHCR yang disyaki palsu, wang tunai sebanyak RM2,000 dan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang dipercayai untuk mengangkut PATI," katanya.

Ruslin berkata, sindiket penyeludupan ini dipercayai menggunakan laluan haram di sempadan negara untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

"PATI yang diseludup ini akan ditempatkan di sebuah rumah yang dipercayai menjadi transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres dengan diiringi oleh seorang lelaki Rohingya.

"Bayaran yang dikenakan oleh sindiket untuk penghantaran ke Kuala Lumpur adalah sebanyak RM500 untuk setiap seorang PATI dan RM100 dikenakan untuk penghantaran di sekitar Kota Bharu, Kelantan," katanya.

Jelasnya, tindakan dijalankan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63.

"Imigresen akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007," katanya. - Sinar Harian