KUALA LUMPUR: Empat individu didakwa terlibat dalam kes membaling bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng Mei lepas mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan dihadapi mereka.

Peguam Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi bahawa pihaknya memfailkan representasi itu semalam (3 Sept).

"Sekiranya representasi pertama ditolak, kita akan hantar representasi kedua," kata peguam itu pada prosiding sebutan kes terbabit di sini hari ini.

Haziq Aizuddin mewakili empat tertuduh iaitu Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23, M. Preemraj, 25, dan Nor Rahman Sadik, 25.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Dang Wangi di sini pada 2.17 pagi, 9 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi mengetahui keputusan representasi berikutan ia baru dihantar semalam dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Sept ini bagi sebutan semula kes untuk mengetahui status representasi.

-- BERNAMA