JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat di bandar raya ini mendakwa kerugian kira-kira RM6.2 juta akibat pencerobohan e-mel perniagaan.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun itu pada 9 Ogos lepas.

Beliau berkata pengarah syarikat itu memaklumkan menerima e-mel daripada syarikat pembekal yang mengarahkannya membuat pembayaran ke satu akaun bank.

"Hasil siasatan mendapati, pada Februari 2022, syarikat pengadu (pengarah syarikat) telah membuat pembelian sebuah mesin dari luar negara bernilai RM6,216,840 dan telah membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan.

"Pengadu kemudian menyedari pembekal tidak menerima sebarang bayaran dan tidak pernah menghantar e-mel mengarahkan perubahan nombor akaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata pengarah syarikat itu telah menyemak e-mel diterima dan mendapati ada perbezaan pada alamat e-mel penghantar.

"Pengarah syarikat itu mengesyaki e-mel syarikatnya telah diceroboh dan hal berkenaan menyebabkan syarikatnya membuat bayaran ke dalam akaun lain," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai dan syarikat agar berhati-hati dalam urusan sesuatu pembayaran terutama sekiranya menerima e-mel yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun lain selain daripada e-mel biasa digunakan.

-- BERNAMA