KOTA BHARU: Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng lebih 15,000 liter minyak diesel, dua tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Dua pengarah syarikat, Tan Kim Soon dan Koh Sze Yuen, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeleweng lebih 15,000 liter minyak diesel pada 7 Ogos 2022.
  • Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Mahkamah membenarkan Kim Soon diikat jamin RM40,000, Sze Yuen RM30,000 dan syarikat terbabit RM40,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
  • Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Ogos depan untuk serahan dokumen.


Tan Kim Soon, 35, dan Koh Sze Yuen, 34, kedua-duanya yang merupakan pengarah syarikat Heng Seng & Company Sdn Bhd membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Pasangan suami isteri itu didakwa memiliki barang kawalan berjadual berupa 15,979 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong atau runcit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan stesen Jabatan Pengangkutan Jalan Laloh, Kuala Krai, kira-kira pukul 7 petang pada 7 Ogos 2022, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Dahlia Tan.

Wan Mohd I'zzat memohon mahkamah menimbangkan jaminan setimpal kepada tertuduh, mengambil kira ketirisan diesel yang berlaku dan kepentingan awam, manakala Dahlia memohon jaminan rendah dikenakan mengambil kira pendapatan syarikat, di samping tiada risiko tertuduh melarikan diri, dan mereka bersedia melaporkan diri di KPDN yang berdekatan.

Mahkamah membenarkan Kim Soon diikat jamin RM40,000, Sze Yuen RM30,000 manakala syarikat terbabit RM40,000, masing-masing dengan seorang penjamin, dan mereka perlu melapor diri di KPDN Petaling Jaya setiap bulan serta menyerahkan pasport.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Ogos depan untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA