IPOH: Ramai yang mengeluh mengatakan buah durian kini hanya mampu dilihat dan dihidu tetapi tidak mampu dinikmati kerana harganya yang terlalu tinggi di pasaran.

Tidak hairanlah mengapa ramai yang beranggapan raja buah itu dijual pada harga kayangan - baik daripada durian jenis Musang King, Udang Merah mahupun Kampung.

Persoalan utama di sini ialah mengapa orang ramai khususnya generasi muda tidak mengambil inisiatif untuk mula menanam sendiri pokok durian?

Malah, difahamkan proses penanamannya kini tidak serumit dahulu, ditambah pula dengan inovasi dan bantuan daripada agensi berkaitan.

Perkara itu turut mendapat maklum balas daripada Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Hang Tuah Baharudin.

Ujarnya, tanaman durian kini mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

"Kita nak menggalakkan generasi muda untuk mula tanam durian, kalau dulu zaman datuk dan nenek kita boleh buat tapi mengapa sekarang tidak boleh?

"Sekarang ini seolah-olah kita pula kena beli dengan orang lain, dahulu durian ini berlebih-lebih sampai tak larat nak makan.

"Kalau dahulu kita ada banyak pokok durian dan hasilnya, tetapi sekarang kita mengeluh sebab katanya harga durian kayangan. Kita tidak boleh salahkan orang lain dengan apa yang berlaku," katanya pada Selasa.



Beliau berkata demikian ketika program pelancaran secara dalam talian program Fenomena e-Durian anjuran Institut Agro Usahawan (iGROW) dengan kerjasama Pusat Hubungan dan Jaringan Industri UPM dan Taman Pertanian Universiti Putra Malaysia (TPU).

Dalam pada itu Hang Tuah turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan nasihat daripada pihak tertentu sebelum mahu menanam pokok tersebut.

"Salah satu usaha yang kita mahu buat ialah memupuk kesedaran orang ramai untuk tanam durian.

"Durian jenis baka baharu ini tidak perlu masa yang lama untuk hasilnya.

"Janganlah guna konsep 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai. Sebab itu kita selalu tekankan cara tanaman moden, yang lebih mudah dan sesuai," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek berkata, penanaman pokok durian itu bukan hanya untuk dinikmati semata-mata, tetapi boleh dijadikan industri hiliran.

Tambahnya, pokok itu juga boleh ditanam di kawasan perumahan berikutan saiznya yang tidak sebesar dahulu.

"Kita kembali galakkan tanaman durian, kalau kawasan perumahan yang ada ruang seperti corner lot sekalipun.. boleh!

"Sekarang ini bukan semua pokok durian berbuah dengan pokok yang besar susulan teknologi yang ada, sebab itu penting untuk kita anjurkan kempen sebegini," katanya lagi.

Nordin berkata, antara objektif program ini seperti memupuk minat dan kesedaran masyarakat terhadap peranan dan potensi durian sebagai tanaman makanan tempatan dan pasaran eksport.

Selain mendedahkan teknologi dan teknik pengurusan dusun, anak benih, penjagaan, lepas tuai dan jualan.

Program ini berlangsung dari 28 Jun hingga 15 Ogos depan.

Menurut Nordin, antara aktiviti yang dijalankan termasuk kursus asas teknologi penanaman durian secara dalam talian, jualan anak pokok durian pelbagai jenis, serta pendaftaran pembekal untuk jualan produk durian.