BUKIT MERTAJAM: Polis mengesahkan punca kematian dua wanita yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Jalan Tembikai, Bukit Mertajam pada Rabu adalah akibat terhidu gas helium.


Ringkasan AI
  • Sebab Kematian: Polis mengesahkan bahawa kematian kedua wanita itu disebabkan oleh terhidu gas helium.
  • Identiti Mangsa: Kedua-dua wanita berusia 30 dan 25 tahun, merupakan warga tempatan dan rakan karib. Laporan kehilangan mereka telah dibuat oleh waris pada 5 Julai.
  • Klasifikasi Kematian: Polis mengklasifikasikan kematian kedua-duanya sebagai mati mengejut (SDR) setelah pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui unsur-unsur jenayah.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata kedua-dua wanita berusia 30 dan 25 tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan, adalah rakan karib dan laporan kehilangan mereka telah dibuat oleh waris pada 5 Julai lepas.

"Pemeriksaan di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata atau peralatan lain yang mengaitkan unsur- unsur jenayah.

"Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kematian kedua-duanya sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Jenazah kedua- dua mangsa sudah dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 petang tadi. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, jenazah kedua- dua mangsa sudah dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai di alankan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Jenazah dibawa pulang ke Seremban, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Kedua-dua mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan dan datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.

Dua mayat ditemui kembung, berbau dalam kereta di Bukit Mertajam


Media pada Rabu melaporkan dua mayat wanita ditemui dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran taman perumahan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Difahamkan, dua wanita itu berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.

Turut ditemukan adalah nombor telefon yang dipercayai milik ahli keluarga salah seorang mangsa yang diletakkan di bahagian papan pemuka (dashboard) kereta terbabit.