JELI: Dua penjawat awam antara lima suspek lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pindah milik tanah di Kota Bharu pada 31 Mei lepas.


Ringkasan AI
  • Dua penjawat awam antara lima suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pindah milik tanah di Kota Bharu.
  • Mangsa kes mengesyaki berlakunya pemalsuan tandatangan adik-beradiknya dalam Borang 14A pindah milik tanah milik keluarga.
  • Tanah tersebut dijual kepada tiga pembeli tanpa pengetahuan adik-beradik mangsa dan menyebabkan kerugian bernilai RM400,000.


Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua suspek yang ditahan itu berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun dan tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kes penipuan melibatkan penggunaan dokumen Borang 14A pindah milik tanah.

"Dalam kes ini mangsa seorang wanita merupakan pengarah sebuah syarikat tempatan mengesyaki berlakunya pemalsuan tandatangan adik-beradiknya dalam Borang 14A pindah milik tanah milik keluarganya berkeluasan 0.051 hektar.

"Tanah itu dijual kepada tiga pembeli tanpa pengetahuan kesemua adik-beradik mangsa dan menyebabkan kerugian bernilai RM400,000," katanya dalam sidang media selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan 2024 di Politeknik Jeli, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata kesemua suspek direman enam hari di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis turut menahan dua suspek lelaki masing-masing berusia 37 tahun pada Sabtu lepas kerana disyaki terlibat dalam dua kes penipuan jual beli emas secara bersemuka di Kota Bharu dan Rantau Panjang, di sini.

Beliau berkata dalam kes ini dua wanita warga Thailand berusia 60-an diperdaya membeli dua utas rantai emas dengan harga murah iaitu RM4,000 kepada mangsa pertama dan RM3,500 kepada mangsa kedua.

"Kedua-dua mangsa kemudian membuat semakan ketulenan emas yang dibeli dan mendapati emas terbabit adalah palsu.

"Hasil risikan dan siasatan polis mendapati kumpulan ini dan beberapa individu lagi dipercayai terlibat dalam modus operandi yang sama," katanya.

Kedua-kedua suspek direman bermula Ahad lepas sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA