PUTRAJAYA: Dua pengikut "Tuhan Harun" terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka dengan penjara 40 tahun kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

"Permohonan kedua-dua pemohon dibenarkan, hukuman mati digantikan dengan pemenjaraan. Shamsinar dikenakan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap pada 22 Feb 2014 dengan 12 sebatan manakala Sumustapha dikenakan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap pada 27 Nov 2013," kata Hakim Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 27 Dis 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua lelaki itu selepas mereka didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli Abd Malek.

Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 10 Nov 2013. 

Mahkamah Rayuan pada 8 Feb 2018, menolak rayuan kedua-dua lelaki itu untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadap mereka dan pada 29 Nov 2018, Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman tersebut.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun”, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut. 

Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Sumustapha berhujah bahawa adalah penting untuk mengambil kira bahawa pemohon, yang sebelum ini merupakan seorang pekerja di satu daripada banyak syarikat yang dikawal oleh ‘Tuhan Harun’, juga adalah mangsa kepada pengaruh meluas ‘Tuhan Harun’.

“’Tuhan Harun’ bukan sekadar pendorong dan perancang utama di sebalik pembunuhan tersebut, tetapi beliau juga merupakan seorang pemimpin ajaran sesat yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengikutnya, termasuk pemohon,” katanya.

-- BERNAMA