DUNGUN: Jenazah ketiga-tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh sebuah Honda CRV berhampiran universiti itu pada malam Rabu selesai dituntut ahli keluarga pada Khamis.

Proses bedah siasat mangsa selesai di lakukan di Unit Forensik Hospital Dungun, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi kawasan hospital itu yang dihadiri lebih 50 ahli keluarga mangsa termasuk kakitangan universiti berkenaan.

Sepanjang proses menunggu jenazah, kelihatan ahli keluarga ketiga-tiga mangsa berpelukan dan mengalirkan air mata kerana tidak mampu menahan sebak.

Jenazah mangsa yang telah dimandikan dan dikafankan di unit forensik itu kemudian dibawa ke Masjid UiTM Dungun untuk disembahyangkan kira-kira jam 10.10 pagi dan selesai jam 10.45 pagi.

Pada malam Rabu, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam itu di hadapan pintu masuk universiti berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian keempat-empat mangsa baru sahaja selesai makan malam dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus terbabit.

Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun.

Seorang lagi mangsa Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 turut meninggal dunia di lokasi kecederaan akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.

Mangsa yang cedera parah ialah Mohd Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, masih dirawat di Hospital Dungun.

Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam.

Jenazah Khairil Anwar, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor.

Pemandu wanita rempuh tiga pelajar UiTM Dungun hingga maut dipercayai tidak siuman

Tiga pelajar UiTM Dungun pulang makan malam maut, motosikal dirempuh SUV. - Sinar Harian