DUNGUN: Imam Pusat Hidayah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, tidak dapat menahan sebak ketika membacakan doa selepas mengimamkan solat jenazah tiga penuntut universiti itu yang terkorban dalam nahas jalan raya.

Muhammad Adam Ali beberapa kali terpaksa memberhentikan bacaannya untuk menarik nafas dalam dan menenangkan diri.

Beliau berkata, sepanjang 10 tahun menjadi imam ini kali pertama mengimamkan  jenazah yang ramai malah membabitkan kes kematian yang tragis.

"Saya juga sebak memikirkan mereka yang dianggap seperti anak apatah lagi mereka maut dalam proses menuntut ilmu, jadi ketika solat jenazah tadi, timbul rasa sebak dan sedih," katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat jenazah di Pusat Hidayah UiTM di sini sini hari ini.

Jelasnya lagi, hatinya sekali lagi menjadi sayu apabila membayangkan wajah ahli keluarga yang datang dalam keadaan yang sedih dan sebak.

“Sebagai imam, saya memohon  untuk bersama-sama kita doakan kemudahan untuk mereka ketika menghadapi Allah SWT dan kekuatan untuk ahli keluarga mangsa dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Malam tadi, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.

Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.