Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata, menerusi pertemuan dua hala dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, beliau turut menyatakan beberapa pandangan berhubung Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang memberi kesan langsung terhadap industri sawit di Malaysia.
"Pertemuan ini saya gunakan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan EU, selain kami turut bertukar pandangan terkait perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa.
"Kami antara lain sepakat untuk berusaha mempertingkat kerjasama strategik ASEAN-EU, khususnya sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan," katanya.
Pertemuan dua hala itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, pada Khamis.
Terdahulu pada September, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan Malaysia secara rasmi bersedia menyambung semula rundingan FTA dengan EU untuk dimuktamadkan.
Katanya, kerajaan akan memastikan rundingan berkenaan akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Rundingan tentang FTA dimulakan pada Oktober 2010, membabitkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012, namun ditangguhkan berikutan keraguan Malaysia dalam beberapa aspek, seperti minyak sawit, dasar perolehan, subsidi dan klausa kemampanan EU.
Antara lain, Perdana Menteri pada Khamis turut menerima kunjungan hormat delegasi Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Prof Klaus Schwab.
Kenyataan sama menyebut, pertemuan antara lain menyentuh pelbagai perkara penting terkait perkembangan ekonomi serantau dan global.
"Prof Schwab turut memanjangkan jemputan untuk saya menghadiri WEF di Davos pada Januari tahun depan. Insya-Allah akan saya pertimbangkan,” ujarnya lagi.