GEORGE TOWN: Dua pelancong warganegara China maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok yang tumbang bersama runtuhan konkrit dalam kejadian di Lebuh Gereja, George Town petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.19 minit petang itu, kedua-dua mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50-an dan wanita berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba Pulau Pinang, Muhammad Syafiq Noor Azman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.19 petang dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

"Berlaku runtuhan bangunan bersama dengan  pokok dan telah menghempap tiga buah kereta di mana salah sebuah kereta tersebut terdapat dua mangsa tersepit.

"Kita berjaya membawa keluar mangsa, seorang mangsa perempuan 30-an, dan seorang lelaki 50-an, kedua-duanya  warga China pada 5.15 petang dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa dikatakan baru sahaja memasuki kenderaan tersebut yang diparkir di hadapan bangunan Penang Peranakan Mansion, yang merupakan pusat rekreasi pelancong sebelum kejadian berlaku.

Difahamkan, dua pelancong itu berada dalam kereta bersama pemandu pelancong warga tempatan namun pemandu tersebut sempat melarikan diri.

Kerja-kerja memotong pokok yang dianggarkan sebesar tiga pemeluk itu dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk menggunakan khidmat kren untuk mengalihkannya.

Menurut Muhammad Syafiq lagi, pihaknya  menghadapi pelbagai cabaran termasuk cuaca yang tidak menentu selain kesukaran kren melalui kawasan tersebut yang agak sempit.
 
Katanya, keadaan cuaca di Pulau Pinang yang dilanda ribut serta angin kencang kebelakangan  ini dipercayai menjadi punca pokok tersebut tumbang namun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.