RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbabit nahas di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa dua pelancong warga China pada Sabtu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.


Ringkasan AI
  • Pemandu Bas Persiaran Mengaku Tidak Bersalah: Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, yang menyebabkan dua pelancong warga China meninggal dunia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret. Dia dituduh memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.
  • Dakwaan dan Hukuman: Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum dengan penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa memandu tanpa lesen, yang boleh mengakibatkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
  • Ikat Jamin dan Rayuan: Timbalan Pendakwa Raya menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tertuduh menyerahkan lesen jika ada. Tertuduh memberikan alasan masih menanggung ibunya yang orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan bulanan RM1,000 hingga RM1,500. Kes ini akan sebut semula pada 7 Ogos untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.


Tertuduh, S Anand Kumar, 32, beralamat di Klang, Selangor membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 29 Jun 2024, kira-kira jam 10.20 pagi di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun) di Bentong sebagai pemandu bas persiaran telah didapati memandu dengan cara berbahaya, sehingga menyebabkan kematian dua warga China, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi, waktu sama didapati memandu suatu kenderaan bermotor di jalan raya tanpa ada lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan tersebut.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan lesen sekiranya ada serta tidak dibenarkan permohonan lesen sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberikan alasan masih menanggung ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Siti Aisyah kemudiannya mengenakan ikat jamin keseluruhan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian