Dua wanita maut manakala dua lagi cedera apabila kenderaan mereka naiki hilang kawalan dalam satu kemalangan di Lebuhraya Mahameru di sini, malam ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, kenderaan yang dipandu salah seorang mangsa terbabas dan melanggar tiang jejantas di situ pada kira-kira pukul tujuh malam.

"Pihak bomba menerima satu panggilan kecemasan pada pukul 7.09 malam rentetan kejadian itu.

"Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bergegas ke tempat kejadian dan mendapati satu kemalangan jalan raya membabitkan Perodua Kenari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dua mangsa berumur lingkungan 20 tahun disahkan cedera parah sementara dua lagi mangsa masing-masing berumur dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dan dua yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sementara operasi menyelamat selesai pada pukul 8.11 malam tadi.

--BERNAMA