Dua buruh binaan warga asing cedera parah di kepala, leher dan badan apabila struktur lantai bangunan sebuah kilang yang sedang dalam pembinaan di Bayan Lepas, runtuh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua mangsa yang berusia 20 hingga 30-an parah akibat dihempap rangka besi dan timbunan simen basah yang jatuh dari aras dua bangunan enam tingkat itu.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan.

Timbalan Pengarah Bomba Dan Penyelamat Negeri, Mohamad Shoki Hamzah, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.14 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama 18 anggota dan pegawai.


"Mengikut siasatan awal, kita dapati scalf folding yang menampung berat konkrit menyebabkan kerja pembinaan di tingkat dua kilang dalam pembinaan runtuh.

"Ketiga-tiga mangsa yang cedera adalah pekerja Bangladesh," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi wakil media mengesahkan kejadian dan memaklumkan dua mangsa yang parah masih menerima rawatan di HPP.