Dua beranak bersama seorang lagi remaja ditahan polis selepas didapati mengetuai salah satu rangkaian sindiket syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta di negara ini.

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad, penahanan dua beranak berusia 43 dan 16 tahun bersama rakan seusia remaja berkenaan dilakukan di sebuah rumah pada 12.15 tengah malam dan 2.45 pagi di Felda Rimba Emas, Padang Besar.

Turut ditemui di dalam rumah terbabit, 100 kilogram (kg) ketulan mampat ganja bersama 126kg syabu yang dimuatkan ke dalam lima karung guni dan 18 beg.

Surina berkata, pihaknya percaya dadah dan syabu itu diperolehi dari Thailand dan ia merupakan rampasan terbesar di Perlis untuk tahun ini.

Menurutnya, ketika tangkapan dilakukan, dua remaja terbabit berada bersama kesemua barangan, dipercayai sedang menyusunnya, sebelum bapa remaja itu tiba di rumah dan ditahan di lokasi yang sama kira-kira dua jam kemudian.

"Hasil siasatan awal, kita dapati semua dadah yang dirampas adalah bukan untuk pasaran dalam negeri.

"Dan mereka menggunakan rumah tersebut sebagai transit untuk mengedar dadah ke selatan negara.

"Polis telah mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39(b) dan Seksyen 15(1)(a) dan Akta Dadah Berbahaya Pelucutan Hak 1988," kata Surina.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.


Katanya, hasil ujian air kencing ke atas ketiga suspek mendapati mereka positif syabu dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dua beranak ini dengan dibantu seorang lagi remaja disyaki bergiat aktif dalam rangkaian pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

Mereka licik dan bergerak secara terancang, kata Surina, malah dadah dan ganja yang diedarkan, juga untuk pasaran luar Perlis, dipercayai diedar ke selatan tanah air.

Dua beranak tersebut adalah penganggur dan remaja itu juga sudah tidak bersekolah.

Mereka dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan ini sejak awal tahun.

Surina berkata, pihaknya masih menyiasat modus operandi sindiket berkenaan memandangkan mereka berani membawa masuk dadah dan syabu dalam kuantiti yang besar.

Kesemua suspek direman tujuh hari mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.