Dua beradik warga meninggal dunia selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Jalan SS 2/4 Petaling Jaya, dekat sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Rohani Abdul Manan, 89, ditemui meninggal dunia di tandas tingkat atas kediaman berkenaan manakala mayat adiknya, Ahmad Lokman Abdul Manan, 73, ditemui berhampiran pintu dapur.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Sani Harul berkata kedua-dua mangsa mempunyai kesan melecur kira-kira 10 peratus di badan.

Katanya, kebakaran berkenaan turut memusnahkan 70 peratus rumah dua tingkat berkenaan.

"Bomba menerima panggilan kira-kira 3.38 pagi dan 12 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Penchala dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, punca kebakaran berkenaan adalah disebabkan lintar pintas.

-- BERNAMA