Dua beradik lelaki ditahan polis kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) kerana keluar dari kawasan Ambangan Height, Amanjaya di sini malam tadi.

Kedua-dua mereka yang berusia 17 dan 19 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal berhampiran jalan kawasan Sekolah Rendah Ambangan Height, jam 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata mereka ditahan oleh anggota polis yang sedang membuat pemantauan di Zon Kenanga.

"Pemeriksaan awal mendapati mereka memakai gelang berwarna merah jambu yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan. Mereka memberitahu hendak ke rumah datuk namun alasan tersebut tidak munasabah untuk membolehkan mereka berada di luar kawasan rumah.

"Kedua-dua mereka yang telah diambil keterangan diberikan jaminan polis dan akan dituduh di mahkamah selepas ini. Kes akan disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD secara bersasar di Amanjaya yang melibatkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Melur dan Mawar bermula Jumaat lepas sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Adzli juga berkata seramai 59 individu masing-masing dikompaun RM1,000 kerana mengingkari PKPP di sebuah kedai makan di Bukit Selambau Estate dekat Sungai Petani tengah malam tadi.

Beliau berkata kesemua individu yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan pada kira-kira 12.30 tengah malam kerana didapati tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berkumpul di premis itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa orang sedang berkumpul sambil leka mendengar muzik serta tidak menjaga penjarakan fizikal dan penjaga premis berusia 37 tahun gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan yang sah," katanya.

Adzli berkata kedai makan itu menyediakan kemudahan untuk pelanggan berkaraoke dengan bayaran RM2 bagi setiap lagu.