MENYELAK helaian demi helaian halaman 'The Economist' hari ini, sebuah iklan "Malaysia: Akan Melantun Tinggi Semula" (Malaysia: Bullish on Bouncing Back) menaikkan semangat dan rasa bangga.

Ia antaranya menerangkan bagaimana negara yang mengalami hari-hari yang muram, yang sudah tentunya merujuk kepada label kleptokrasi kerajaan terdahulu dan segala yang berkaitan dengannya, termasuk kegagalan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ketidakpastian yang berkaitan dengannya.

"Kita perlu memperbetulkan yang salah. Justeru pada pilihan raya umum baru-baru ini, rakyat Malaysia akhirnya mengatakan, cukuplah setakat ini dan bangkit bersama untuk membawa negara kembali ke landasannya - kembali ke arah masa depan yang stabil," kata iklan berkenaan.

Setiap baris iklan berkenaan memberikan kesan di dalam hati saya, lebih-lebih lagi apabila melihatnya di dalam majalah yang berprestij.

Pada saat itu juga, pengumuman yang dibuat berhubung RM314.5 bilion pada pembentangan Belanjawan 2019 semalam tidak langsung menyentuh minda saya, begitu juga dengan kadar hutang, defisit belanjawan serta pemberian kepada rakyat. Tidak, saya bukan memperkecilkan Belanjawan berkenaan atau keperluannya.

Tetapi ini lah saya, warga biasa yang berasa bangga melihat bagaimana rakyat bangkit mencipta sejarah bersama seorang lelaki berumur 93 tahun yang hampir mencecah usia seabad, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai tunjang di dalam Pakatan Harapan (PH)

Oleh itu, persoalan dan tuduhan yang berterusan bahawa pentadbiran yang dipimpin PH tidak melakukan apa-apa yang ketara sejak berkuasa atau menyampaikan janji pilihan rayanya, sebenarnya tidak masuk akal dan menampakkan kejahilan.

Dan saya tidak akan memulakan dengan bagaimana Belanjawan ini diperlekehkan, sedangkan apa yang sering diungkap, Rom tidak dibina dalam masa sehari.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah melihat ke dalam media sosial bagaimana pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mempedulikan apa yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya PH. Tujuan mereka adalah satu - untuk menukar kerajaan.

Sememangnya, kita tidak melihat ringgit melantun ke tahap yang memberikan kegembiraan kepada mereka yang mendapat manfaat daripadanya, begitu juga dengan pasaran yang tidak mencanak naik sehingga menghasilkan jutawan segera.

Tetapi, rakyat Malaysia berbangga dengan menunjukkan contoh dan mencipta sejarah bagaimana sebuah kerajaan yang didakwa sebagai bobrok dapat ditukar tanpa pertumpahan darah atau berjuang di medan tempur.

Justeru, jika ada sesuatu yang benar-benar penting bagi warga biasa seperti saya, ia adalah perasaan bangga terhadap negara - tidak hanya ketika berada di Malaysia tetapi juga apabila saya melangkah ke luar negara.

Negara tercinta ini sudah dipandang tinggi semula di pentas dunia. Suara negara kecil dengan 30 juta penduduk ini mula mengaum semula dengan isu tempatan dan global.

Menariknya, saya tidak melihat orang lain terhadap ini semua, selain Che Det, seorang peneraju negara yang kini dikenali sebagai pemimpin negara tertua di dunia.

Seperti apa yang dikatakan Tashy Sukumaran dari South China Morning Post: "Sayanginya atau benci akan dia - seakan ada beberapa sisi dalam susuk tubuh ini - siapa pun jua sukar untuk menafikan bahawa Dr Mahathir tidak mempunyai apa-apa tetapi cinta yang mendalam terhadap Malaysia.

"Ramai yang mungkin berpendapat bahawa beliau melihat negara ini sebagai sebuah kegagalan terhadap egonya, namun rasa patriotisme tetap kekal dalam dirinya, dan runtuhnya warisan Malaysia - warisan Mahathir - memberikan kesan kepada pejuang berusia ini," tulisnya mengenai kembalinya semula Dr Mahathir ke arena politik selepas 15 tahun.

Kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir melihat untuk mengambil masa tiga tahun bagi mengembalikan semula Malaysia kepada suasana fiskal yang sihat.

PH berharap defisit fiskal adalah sebanyak 3.4 peratus pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menyatakan: "Biarlah kecintaan kepada negara menyatukan kita semua, cabaran dihadapi membuatkan kita lebih kuat dan yakin untuk bangkit menjadi Malaysia Harimau Asia semula."

Dengan kesemua ini, saya percaya, Dr Mahathir akan mengembalikan semula Malaysia dan melantun dengan lebih gagah daripada sebelumnya. - Oleh Saraswathi Muniappan

-- BERNAMA