Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya agensi itu telah menawarkan taraf kewarganegaraan dengan memberi kad pengenalan (Mykad) kepada rakyat asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan berkenaan dibuat terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan laporan palsu di akaun Facebook dan Twitter.

Serentak itu, JPN kata beliau, menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

“JPN minta PDRM membawa satu siasatan menyeluruh isu dakwaan ini berikutan maklumat tidak benar telah dikongsi di media sosial,” kata Ruslin dalam sidang akhbar di ibu pejabat JPN pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir pihak di laman sosial yang melemparkan dakwaan tidak tepat berhubung beberapa isu yang berkaitan dengan taraf kewarganegaraan kepada rakyat asing.


Antaranya, kata Ruslin, merujuk pada kes pada 2015 yang merupakan sindiket Mykad di Sabah.

Kes itu, jelas beliau, telah diserah pada pihak berkuasa, namun masih mainkan isunya di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Isu kedua yang turut mencetus dakwaan tidak tepat, kata Ruslin, ada kaitan dengan Mykad milik seorang wanita warganegara China yang ditularkan di media sosial.

"Ingin saya jelaskan, wanita berkenaan berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau telah memohon warganegara berdasarkan Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diberi penganugerahan.

“Beliau telah berkahwin hampir 20 tahun dan telah memiliki Mypr (Pemastautin Tetap) sebelum memiliki Mykad,” ujar Rusli sambil menggesa pemilik media sosial menghentikan penularan berita berkenaan yang disifatkan boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.