KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diberi tanggungjawab untuk memantau harga makanan yang dijual di kantin sekolah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tindakan tersebut bagi memastikan harga yang ditawarkan adalah bersesuaian dan tidak membebankan murid-murid.

"Harga itu (makanan di kantin sekolah) telah dipantau oleh pihak PPD untuk memastikan bahawa harga yang ditawarkan di sekolah atau di kantin adalah bersesuaian," katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) tentang mekanisme KPM dalam memantau harga makanan memandangkan terdapat rungutan di sekolah-sekolah tertentu.

Menjawab lanjut, Kah Woh berkata memberitahu Dewan Rakyat, bagi membantu murid-murid dalam kumpulan miskin tegar, kerajaan turut menyediakan peruntukan tertinggi dalam sejarah membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

Jelas beliau, sebanyak RM777 juta diperuntukan pada 2023, manakala sebanyak RM716 juta pada 2024 berbanding RM616 juta pada 2022.

"Program RMT yang memanfaatkan anak-anak kita daripada pendapatan isi rumah di bawah paras garis kemiskinan nasional iaitu kategori miskin tegar dan murid di sekolah Orang Asli, Penan, murid berkeperluan khas dan sebagainya," ujarnya.

Katanya lagi, peruntukan dalam RMT bagi memastikan murid-murid dalam kumpulan terbabit menerima nutrisi yang bersesuaian bagi tumbesaran mereka.