PUTRAJAYA: Sebanyak 2,258 kes demam denggi dengan dua kematian dicatatkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 29 iaitu dari 16 Julai hingga 22 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata jumlah itu adalah penurunan 6.7 peratus berbanding 2,421 kes pada minggu sebelumnya.

Setakat ini, katanya, sebanyak 66,224 kes dicatatkan bagi tahun ini, berbanding 29,603 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 123.7 peratus.

"Sejumlah 47 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan sehingga kini berbanding 19 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya dalam kenyataan pada Isnin..

Beliau berkata lokaliti hotspot pada minggu ini meningkat kepada 104 lokaliti berbanding 100 lokaliti pada minggu sebelumnya iaitu 70 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (16), Kedah (lima), masing-masing tiga di Pulau Pinang, Perlis dan Sabah, dan masing-masing satu di Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dr Muhammad Radzi berkata survelan chikungunya merekodkan dua kes pada ME 29 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya ialah 144 kes.

Bagi survelan zika pula sebanyak 1,718 sampel darah dan 109 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan kesemuanya adalah negatif, katanya.

-- BERNAMA