KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah mengetuai delegasi Ahli Parlimen Malaysia ke Dewan Perhimpunan Kebangsaan dan Senat Perancis serta Mesyuarat Antara Parlimen Kesatuan Eropah-Malaysia yang dianjurkan oleh Parlimen Eropah pada 11-13 Julai lepas.

"Malaysia dan Kesatuan Eropah berkongsi matlamat yang sama dalam memastikan kesejahteraan rakyatnya.

"Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia menghargai hubungan rapatnya dengan Kesatuan Eropah dalam menegakkan nilai kebebasan, kesaksamaan dan keamanan, serta melindungi demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

"Sememangnya, lawatan delegasi Parlimen Malaysia ke Parlimen Eropah adalah manifestasi hasrat kedua-dua pihak untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen negara yang turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Wong Chen, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Datuk Jonathan Yasin dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Yusuf Abdul Wahab.

Kenyataan itu memaklumkan Johari juga mengetuai delegasi Malaysia ke Strasbourg dalam Mesyuarat Antara Parlimen Malaysia dan Parlimen Eropah yang dipengerusikan Pengerusi Delegasi untuk Hubungan bersama Negara-Negara Asia Tenggara dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (DASE) Danial Caspary.

"Malaysia telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dan berkongsi idea serta teknologi bersama Kesatuan Eropah.

"Ini juga akan membuka peluang untuk generasi muda untuk didedahkan dengan teknologi baharu melalui program pemindahan teknologi.

"Perbincangan tersebut juga telah menyentuh jalinan kerjasama yang lebih mendalam bersama Kesatuan Eropah untuk memperkembangkan pelaburan perdangangan bersama ASEAN untuk membangun dan mencapai matlamat bersama," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA