Johari berkata lawatan kerja itu yang pertama kali dianjurkan adalah bertujuan untuk berkongsi pertukaran ilmu dan pengalaman dalam kalangan Yang Dipertua Dewan dalam memartabatkan serta memperkasakan institusi Speaker.
"Ini (Pahang) merupakan negeri kesembilan. Jadi, sudah tentu perjalanan satu dewan ke satu dewan yang lain itu mungkin ada perbezaannya dan kelebihannya, di sinilah peluang untuk kita berkongsi pengalaman.
"Mungkin juga ada benda baharu yang boleh kita kongsi bersama. Saya sendiri secara peribadi telah belajar banyak daripada apa yang terjadi di negeri-negeri. Di sinilah betapa pentingnya lawatan ini yang boleh kita cadangkan apabila kita bersidang nanti," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini semalam.
Beliau berkata pada Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 yang akan berlangsung 11 hingga 14 Sept ini, pihaknya akan membentangkan hasil dapatan sekali gus memperbaiki setiap DUN untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada persidangan itu.
"Insya-Allah, akhir persidangan (Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024), kita sediakan resolusi. Resolusi ini akan menjadi panduan kita untuk dibawa ke negeri bagi kita cadangkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakannya sebaik mungkin," katanya.
Johari berkata antara perbincangan yang disentuh semasa lawatan kerja itu adalah penggunaan sistem digital yang dilihat penting dalam mentransformasikan perjalanan persidangan Dewan Rakyat dan DUN, misalnya menguruskan aturan dewan khususnya berkaitan soalan daripada wakil rakyat mampu memudahkan persidangan serta menjimatkan kos.
"Saya pernah menjadi wakil rakyat di Kedah dan apa yang diperkenalkan di negeri ini, soalan-soalan akan dimasukkan secara terus ke dalam sistem, jadi ia lebih cepat. Idea daripada Kedah itu saya bawa dan sepadankan dengan urusan di Parlimen.
"Di Pahang, saya dimaklumkan ada satu aplikasi yang digunakan untuk mentranskripsikan hansard di Parlimen, tidak perlu taip balik (jimatkan masa)," katanya.
Beliau berkata selepas Pahang, lawatan kerja itu akan diteruskan ke Selangor, Sarawak dan berakhir di Sabah.
-- BERNAMA