KUALA LUMPUR: Pentas politik negara kini terarah kepada sesi Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara pada pukul 9 malam ini.

Ia bakal menjadi debat bersejarah dalam negara kerana dua figura penting politik ini yang berkongsi pentas buat pertama kali dalam debat awam.

Daripada Najib, Anwar sehinggalah kepada penyokong kedua-dua belah pihak, semua persiapan telah dilakukan menjelang pembukaan gelanggang debat itu.

Anwar, yang juga Presiden PKR semalam menerusi hantaran di Instagram telah membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencadangkan soalan yang bakal dikemukakan kepada Najib.


Sudah tentu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak mengambil mudah mengenai pertembungan pada malam ini.

Tidak hanya bersiap dari segi fakta dan hujahan, nampaknya figura yang terkenal dengan gelaran 'bossku' itu turut memastikan kesihatan fizikal berada pada tahap yang baik.

Terbaharu, Najib berkongsi gambar beliau bersenam sambil memakai sarung tangan tinju.

"Ready. Jumpa di gelanggang," tulis Najib dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Khamis.


Hantaran tersebut mencuri perhatian warganet, yang dilihat tidak sabar untuk menyaksikan 'tumbukan' yang bakal dibuat oleh Najib pada pertarungan malam ini.

Antara komen pengguna Facebook menjelang debat perdana antara Najib dan Anwar malam ini - Foto/Facebook Najib Razak