Pengganti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy hanya akan diumumkan esok.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata calonnya sudah dikenal pasti dan namanya akan dirujuk di Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini.

"Keputusan akan diumumkan pagi esok di Parlimen," kata Saifuddin ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Pakatan Harapan di Parlimen, pada Rabu.

Selain itu, Saifuddin turut menyatakan bahawa mesyuarat tersebut turut membincangkan hal-hal berkaitan kerjasama pakatan pembangkang tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Rabu menegaskan Radio Televisyen Malaysia hanya menawarkan siaran langsung debat 1MDB diantara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.