KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan 32,500 Jalur Gemilang pelbagai saiz bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Bendera Malaysia itu diedarkan kepada wakil agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk, persatuan penjaja dan peniaga, pemandu teksi, penghantar makanan dan pemandu-pemandu kenderaan milik DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, selain itu, sebanyak 3,000 gegantung Jalur Gemilang dipasang di jalan-jalan utama sekitar ibu negara, seperti Jalan Sultan Ismail, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“DBKL juga mengambil inisiatif dengan mempamerkan mesej sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di skrin LED Menara DBKL 1, LED Dataran Merdeka, LED swasta dan di paparan papan tanda elektronik (VMS) di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi tujuan sama, DBKL turut mengedarkan surat pekeliling kepada 180 pemilik bangunan di pusat bandar untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menerangi bangunan dengan lampu hiasan di premis masing-masing,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara DBKL, semalam. 

Hadir sama, pengurusan tertinggi DBKL, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, pengarah jabatan DBKL serta warga kerja DBKL. 

Selain itu, pelbagai program dirangka DBKL sepanjang Bulan Kebangsaaan.

Ia termasuk Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DBKL yang berlangsung pada 31 Julai 2023, KL Street Jam pada 5 Ogos 2023, Program KL Car Free Morning Edisi Khas Merdeka pada 6 Ogos 2023 dan Karnival Bola Sepak Perumahan DBKL @ DBKL Home Cup 2023 edisi kedua yang akan berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September.

Turut diadakan, Pertandingan Mewarna sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 13 Ogos 2023 di Stadium Titiwangsa, Program Derma Darah di lobi Menara DBKL 3, Jalan Raja Abdullah pada 16 Ogos 2023 dan Konsert Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada 30 Ogos 2023.