Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk hanya membina 274 unit pangsapuri mampu milik yang akan ditawarkan kepada Bumiputera dengan harga di bawah RM200,000 di kawasan Bukit Keramat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menegaskan perkara itu, berkata beliau juga tidak akan bersemuka dengan kumpulan penduduk yang membantah projek berkenaan.

Penegasan beliau itu sebagai reaksi kepada kata dua oleh sekumpulan penduduk Keramat yang mendesak untuk bersemuka dengan beliau, dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam tempoh seminggu ini, atau mereka akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri.

"Itu tanah DBKL bukan tanah mereka. Tapi kalau mereka nak jumpa saya secara perseorangan di pejabat, saya boleh terangkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), di sini pada Rabu.

Mhd Amin berkata pihaknya tidak dapat melayan desakan penduduk yang mahu tanah itu dibina 100 peratus rumah mampu milik kerana projek pangsapuri berharga RM600,000 seunit itu merupakan elemen subsidi yang perlu diwujudkan pemaju.

Harga tidak logik

DBKL, katanya tidak ada dana untuk membina rumah mampu milik seperti yang diperoleh agensi perumahan kerajaan dan ia hanya mengharapkan kerjasama swasta untuk memastikan rumah mampu milik dapat disediakan kepada warga kota.

DBKL hanya menyediakan tanah dan pemaju membayar tanah itu dengan harga RM16 juta dengan syarat 50 peratus daripada unit-unit pangsapuri itu mampu milik sekurang-kurangnya 50 peratus dengan harga bawah RM200,000.

"Sebenarnya Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha) telah berbincang dengan saya, harga RM200,000 ke bawah itu memang tidak logik dan tiada siapa boleh buat tanpa ada elemen subsidi.

"Jadi, subsidi ini bukannya DBKL yang beri kepada pemaju. Pemaju perlu buat rumah harga bebas bawah RM600,000 itu untuk subsidikan rumah bawah RM200,000 tersebut," katanya.

Mengenai tawaran UDA Holdings Berhad yang bersedia membina 100 peratus rumah mampu milik dengan harga bawah RM200,000 di tanah itu, beliau berkata ia tidak dapat dilaksanakan kerana tanah itu telahpun dijual kepada pemaju swasta sebelum UDA menghantar cadangan pada Oktober lepas.

Mahu bersemuka

Pada Selasa, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan penduduk Keramat memberi tempoh seminggu kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk bersemuka dengan mereka di tapak projek untuk penjelasan mengenai status projek itu.

Pengerusinya, Norham Shazali Abdul Hamid berkata penduduk Keramat mahukan pemaju menawarkan kesemua 548 unit projek pangsapuri itu dengan harga mampu milik di bawah RM200,000.

Projek pangsapuri itu yang dijangka dimulakan tidak lama lagi, melibatkan pembinaan 274 unit rumah mampu milik berharga di bawah RM200,000 dan 274 unit lagi dengan harga bebas.