KOTA BHARU: Dasar Hubungan Antara Kaum yang diwujudkan oleh kerajaan Kelantan sejak lebih 30 tahun lepas berjaya menghasilkan keharmonian dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata dasar ini dilihat penting untuk memelihara perpaduan, adat resam dan kebajikan rakyat rentas kaum.

"Melalui dasar ini kerajaan negeri meletakkan falsafah Kelantan sebagai peneraju perubahan dalam keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia berasaskan prinsip Islam dan Rukun Negara.

"Selain itu, menyedari ancaman terutamanya daripada media sosial, Kelantan telah mewujudkan satu program khusus untuk meneruskan keharmonian iaitu Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) yang menjadi 'jambatan' hubungan antara kaum," katanya kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam Perpaduan di Wat Machimmaram di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Zamakhshari turut merasmikan Seminar Perpaduan Nasional Kelantan Model Perpaduan 2024 di Kota Darulnaim di sini yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata perpaduan bukan sekadar slogan tetapi ia adalah tindakan dan amalan yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA