Hasil kajian Merdeka Center mengenai prestasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) mencerminkan perasaan rakyat pada ketika ini.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Hamidin Abd hamid pada masa sama menjelaskan, ia turut menggambarkan keinginan rakyat yang mahukan kestabilan di peringkat kerajaan.

"Kalau kita lihat kepada dapatan kajian yang dibuat oleh Merdeka Center ketika ini, sememangnya ia merupakan satu celahan yang memang memaparkan apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat ketika ini, di mana keyakinan diberikan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Keduanya, tentang keinginan rakyat untuk melihat kestabilan pemerintahan oleh Perikatan Nasional, menjadikannya sebagai pilihan kepada bentuk kerajaan di peringkat pusat,"katanya melalui Skype di Buletin AWANI Khas: Sabah Memilih pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, dapatan Merdeka Center itu masih lagi boleh dipersoalkan mengenai bagaimana kajian itu boleh mempengaruhi politik Sabah pada ketika ini.

"Sejauh manakah dapatan kajian ini boleh dijadikan modal untuk parti-parti yang terlibat dalam PRN Sabah memang menarik untuk diperhatikan kerana dalam konteks di Sabah amat kuat konsep lokal politiknya jika dibandingkan dapatan di peringkat nasional.

"Maksudnya, walaupun kelebihan akan diberikan kepada PN, dan membentuk polisi besar untuk bertanding di Sabah, namun setakat ini tidak nampak kesannya sejauh mana PN atau parti-parti di bawahnya itu akan membentuk satu gabungan besar di Sabah," ujar beliau lagi.
BACA: 69 peratus puas hati prestasi Perdana Menteri


Pada Rabu, satu kajian dilakukan Merdeka Center menunjukkan 69 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Menurut kajian melibatkan 3,415 responden itu, sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak menyatakan rasa puas hati mereka.

Selain itu, 51 peratus daripada 3,415 responden melihat PN dari sudut positif, hanya 27 peratus berpendapat negatif.

Jumlah itu lebih baik daripada Muafakat Nasional (MN) yang hanya menerima 37 peratus respons positif, BN dengan 40 peratus respons positif manakala Pas pula 39 peratus.