Empat warga Iran, dua daripadanya wanita, terlepas daripada hukuman mati setelah mahkamah tinggi di sini Khamis melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Zahra Rajabali Dorido Latabadi, 56, Kobra Mohammad Azimidarnish Mohammad, 43, Davood Ali Tofighi, 27, dan Mahmoud Ali Dast Bordeh, 27.

Zahra didakwa mengedar Methamphetamine seberat 430.7 gram, Kobra (410.6 gram), Davood (423.1 gram) dan Mahmoud (386.4 gram) di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Aras 3, Main Terminal Building, KLIA, kira-kira 11 malam pada 14 Nov 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kesemua dadah ditemui di dalam sandal yang dipakai mereka.

Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Choong berkata pegawai penyiasat didapati tidak menjalankan siasatan dengan baik dan barang kes (dadah) hanya ditandakan selepas 23 jam dirampas.

"Dalam kes pendakwaan, terdapat perbezaan ketara dalam berat kasar dadah yang disenaraikan dalam laporan polis dengan jumlah diterima ahli kimia. Percanggahan berat yang sangat jelas seperti ini menjejaskan rantaian keterangan.

"Ini menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh. Sewajarnya, keempat-empat tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," katanya.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, keempat-empat warga Iran berkenaan menangis dan keluar dari kandang tertuduh lalu bersujud di atas lantai tanda kesyukuran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz manakala kesemua warga Iran terbabit diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan T Vijayandran.